
KUALA LUMPUR: Kod Pemilihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi pencalonan jawatan presiden perlu dipermudah dan tidak sekadar mengikut system lama, kata Nik Eerman Nik Roseli.
Peguam sukan dan komersil itu melihat isu pencalonan ini menjadi salah satu punca badan induk itu terus diterajui ‘muka sama’ yang akhirnya merencatkan idea untuk mentransformasikan badan induk yang akan memasuki usia satu abad, September ini.
“Menurut kod Pemilihan FAM, calon presiden perlu mendapat enam pencalonan, timbalan presiden (lima pencalonan) dan naib presiden pula empat pencalonan.
“Bagi saya, mudahkan proses ini dan biarkan satu atau dua pencalonan pun cukup. Biar undian menentukan jawatan, bukannya disekat pada peringkat pencalonan.
“Isu ini menjadi salah satu sebab kenapa individu yang sama, mereka yang rapat dan proksi asyik memegang jawatan di FAM sehingga menyukarkan untuk orang baharu melakukan perubahan,” katanya.
Pemerhati bolasepak tempatan, Zakaria Rahim sebelum ini mencadangkan supaya statut FAM berhubung perkara membabitkan pelantikan jawatan perlu diubah dengan harus berbentuk berlapis di mana Presiden hanyalah jawatan ‘simbolik’.