Proses naturalisasi boleh selamatkan ‘pemain warisan’

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Hanya proses naturalisasi dengan berada di negara ini selama lima tahun boleh menyelamatkan tujuh ‘harimau palsu’ mewakili Harimau Malaya.

Tujuh pemain terbabit adalah Hector Hevel, Imanol Machuca, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Gabriel Palmero.

Peguam sukan dan komersil, Nik Erman Nik Roseli menjelaskan ini kerana Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sudahpun memutuskan dokumen yang digunakan untuk melayakkan mereka mewakili Malaysia didapati palsu.

Justeru, mereka tidak boleh mewakili Malaysia meskipun CAS tampak ‘baik hati’ dengan meringankan hukuman apabila hanya menggantung mereka untuk perlawanan rasmi sahaja bagi tempoh 12 bulan.

“Pemain-pemain ini tidak layak untuk mewakili Malaysia walaupun selesai menjalani penggantungan selama 12 bulan. Mereka kekal tiada darah Malaysia.

“Mereka masih boleh mewakili Malaysia jika berada di sini selama lima tahun menerusi proses naturalisasi,” kata Nik Erman.