
KELANA JAYA: Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) melancarkan inisiatif global terbaru yang dikenali sebagai Arena FIFA, membabitkan pembinaan sekurang-kurangnya 1,000 padang mini bola sepak di seluruh dunia.
Malaysia adalah antara negara pertama menerima manfaat daripada inisiatif itu, yang menjadi sebahagian usaha badan induk berkenaan menjadikan bolasepak sebagai alat pembangunan sosial sejagat, seiring dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) khususnya dalam bidang pendidikan, kesaksamaan gender dan komuniti sihat.
Mengikut program itu, setiap padang mini direka berukuran 20×40 meter dan dilengkapi rumput tiruan berkualiti tinggi, pagar keselamatan, dinding serta jaring keliling bagi memastikan keselamatan pemain muda.
Presiden FIFA, Gianni Infantino berkata, setiap negara anggota akan menerima dua padang mini sebagai fasa awal dengan setiap satu padang diperuntukkan AS$50,000 (RM211,000).
“Projek ini adalah kerjasama dengan kerajaan serta FAM dan kami berharap lebih banyak pihak swasta untuk bersama menyertai projek ini bagi memastikan ia lebih berkembang,” katanya pada sidang media di Sekolah Kebangsaan Sri Kelana, di sini, hari ini.
Turut hadir di ajlis itu Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Presiden Kehormat FAM Tan Sri Hamidin Mohd Amin, Pemangku Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Datuk Seri Windsor Paul John.
Malaysia turut mencatat satu lagi pencapaian apabila melancarkan Pusat Latihan Kebangsaan baru di Putrajaya, hasil gabungan pembiayaan daripada program FIFA Forward dan kerajaan Malaysia.
Fasa pertama projek bernilai RM69 juta itu menampilkan tiga padang bersaiz penuh termasuk padang tiruan, padang semula jadi dan padang rumput hibrid dilengkapi lampu limpah, pagar keselamatan serta sistem penuaian air hujan yang mesra alam.