
KUALA LUMPUR: Kerabat diraja tidak sesuai berperanan dalam kepimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana ia membawa cabaran tersendiri termasuk pendedahan kepada kritikan awam serta pandangan pelbagai pemegang taruh.
Peguam undang-undang sukan, Zhafri Aminurashid, berpandangan sebarang isu atau kontroversi yang timbul berpotensi memberi implikasi negatif terhadap institusi diraja.
Ini kerana prestasi pasukan kebangsaan sering dijadikan ukuran utama terhadap keberkesanan badan induk bolasepak negara, katanya.
Menurutnya, adalah lebih wajar untuk memelihara kesucian dan martabat institusi diraja daripada sebarang kecaman atau kritikan yang tidak perlu.
“Oleh yang demikian, jawatan-jawatan utama seperti Presiden FAM adalah lebih sesuai disandang oleh individu awam bagi memastikan institusi diraja kekal dihormati dan tidak terheret ke dalam polemik pentadbiran sukan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin menyatakan minat untuk menerajui FAM.
Beliau berkata, beliau menawar diri bukan atas kepentingan mana-mana pihak, sebaliknya bagi mewakili suara awam dan peminat bolasepak yang mahukan perubahan menyeluruh dalam pengurusan FAM.
Megat D Shahriman berkata pengalaman menerajui MPM dan pencapaian badan induk sukan para itu membuktikan formula kepimpinan berpasukan yang diterapnya mampu membawa perubahan besar serta mencapai kejayaan.