Piala Sultan Azlan: India tewaskan Malaysia 3-2

Foto NSTP

IPOH: Isnin lalu, Malaysia berjaya menewaskan Kanada 3-2 dan seri 1-1 dengan New Zealand tetapi gagal mengekalkan momentum kemenangan apabila tumpas 3-4 kepada India pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) ke-31 di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah.

Ketika menentang India, kubu Malaysia dibolosi seawal minit ke-7 melalui jaringan padang Karthi Selvam yang berjaya memperdaya penjaga gawang Hafizuddin Othman.

Malaysia bangkit untuk menyamakan kedudukan melalui pukulan sudut penalti penyerang prolifik Faizal Saari pada minit ke-13.

Selepas terikat 1-1 pada suku pertama, anak buah Craig Fulton bermain lebih kemas dan berjaya membuka jaringan lima minit selepas saingan suku kedua berlangsung.

Gol itu hasil jaringan padang Sukhjeet Singh yang menyambar peluang dalam keadaan kelam-kabut dengan menguis kencang bola ke gawang lawan pada minit ke-21.

Tersentak dengan jaringan itu, anak buah Sarjit Singh terus menggandakan asakan untuk mengikat kedudukan 2-2 hasil gol padang menerusi Mohd Fitri Saari pada minit ke-36.

Berselang tiga minit kemudian, India kembali di depan apabila dihadiahkan pukulan sudut penalti dan berjaya disempurnakan oleh Amit Rohidas namun Speedy Tigers kembali menyamakan kedudukan 3-3 menerusi jaringan pukulan sudut penalti oleh kapten pasukan Muhammad Marhan Mohd Jalil.

Begitupun, bekas juara dunia India tidak memberi laluan mudah kepada Malaysia apabila Sanjay Rana muncul hero setelah berjaya menyempurnakan pukulan penalti pada minit ke-53, sekali gus meranapkan impian Malaysia mencatat kemenangan kedua.

Terdahulu, New Zealand mengalahkan Kanada 4-2 manakala Belgium pula menundukkan Korea Selatan 6-2.