Pertahanan beregu Korea sangat ampuh: Rosman

Foto AFP

KUALA LUMPUR: Pertahanan mantap pasangan Korea Selatan menjadi faktor utama kekalahan Pearly Tan-M Thinaah pada aksi separuh akhir Kejohanan Badminton Seluruh England, kata Ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak.

Rosman berkata, Baek Ha Na-Lee So Hee memberi tumpuan penuh kepada corak permainan bertahan yang sangat berkesan sehingga menyukarkan pasangan negara untuk menembusinya.

“Hari ini pasangan lawan lebih fokus kepada permainan bertahan dan kualiti pertahanan mereka memang sangat baik,” katanya.

Menurutnya, Pearly-Thinaah sudah mencuba pelbagai strategi menyerang bagi memecahkan benteng lawan, namun usaha itu menjejaskan kestabilan sistem pertahanan sendiri.

Katanya, perubahan taktikal yang dilakukan dalam usaha menembusi pertahanan lawan turut menyebabkan permainan mereka menjadi kurang konsisten.

“Konsistensi pertahanan mereka agak longgar hari ini,” katanya.