Penyokong Thai Ancam Boikot Acara Bolasepak

Foto AFP

BANGKOK: Gara-gara peraturan tiket yang memerlukan pendaftaran kad pengenalan, penyokong bolasepak Thailand berikrar tidak akan memberi sokongan buat pasukan kebangsaan mereka di stadium menjelang aksi Sukan Sea.

Kumpulan kelab penyokong Ultras Thailand juga mengetengahkan isu penyokong pasukan kebangsaan tidak ditempatkan di belakang gol menerusi satu kenyataan di media sosial.

Kumpulan itu berikrar akan berkunjung ke setiap perlawanan ketika Sukan Sea yang dianjurkan Thailand bulan ini, namun tidak akan menjejakkan kaki ke dalam stadium sehingga pihak berkuasa sukan menyelesaikan masalah itu.

“Memaksa orang untuk mendaftarkan maklumat peribadi mereka sebelum memasuki stadium adalah melanggar kebebasan asas penyokong sukan,” kata Ultras Thailand.