
KUALA LUMPUR: Pemain-pemain badminton utama dunia mengkritik penganjuran Terbuka India susulan isu pencemaran udara serta tahap kebersihan kemudahan kejohanan di New Delhi.
Pemain Denmark, Anders Antonsen, berkata dia menarik diri daripada kejohanan itu kerana pencemaran udara yang serius.
Ini adalah kali ketiga Antonsen menarik diri daripada kejohanan itu walaupun dikenakan denda AS$5,000 (RM20,237) oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
“Ramai tertanya-tanya mengapa saya menarik diri daripada Terbuka India untuk tahun ketiga berturut-turut. Pencemaran udaranya melampau dan saya tidak fikir ia tempat sesuai untuk menganjurkan kejohanan badminton,” katanya.
New Delhi adalah medan Kejohanan Dunia pada Ogos depan.
Pemain perseorangan wanita Denmark, Mia Blichfeldt, juga menyifatkan keadaan kemudahan latihan sebagai tidak bersih dan berpotensi menjejaskan kesihatan pemain, termasuk isu debu dan najis burung di kawasan memanaskan badan.
Bagaimanapun, Persatuan Badminton India (BAI) menafikan dakwaan itu dan menegaskan venue utama kejohanan berada dalam keadaan bersih serta terurus.