
KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan seorang lagi pemain Malaysia yang berpangkalan di Amerika Syarikat sudh membuat penampilan pertama buat skuad wanita negara.
Pemain itu ialah gadis berusia 17 tahun, Tegen Su-Yin Butler. Tegen membuat dua penampilan buat Malayan Tigress dalam dua aksi persahabatan menentang Hong Kong.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu hantaran di platform rasmi mereka berkongsi:
“Pertahanan Malayan Tigress, Tegen Butler, memperoleh dua penampilan bersama skuad kebangsaan pada dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Hong Kong di Pusat Latihan Bola Sepak HKFA Jockey Club dan Kai Tak Youth Sports Ground, China pada 22 & 25 Oktober lalu!”.
Tegen adalah antara dua pemain luar negara yang dipanggil dalam kem skuad senior wanita negara kali ini. Selain dirinya, jurulatih Joel Cornelli memanggil kapten skuad wanita Malaysia B-20, Lauren Hoh Ruyi.
Seperti Tegen, Lauren juga berpangkalan di Amerika dengan mewakili pasukan Trinity College.
Dua aksi persahabatan di Hong Kong menyaksikan Malaysia kecundang dalam kedua-dua aksi itu. Meskipun tewas, pengalaman aksi ini dilihat akan membantu persiapan anak buah Cornelli dalam menghadapi Sukan SEA 2025 di Thailand.