
LONDON: Pemain Muslim yang beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Bolasepak Inggeris (EFL) akan terus dibenar berbuka puasa ketika perlawanan sepanjang Ramadan tahun ini.
Prosedur itu diperkenalkan pada 2021 dan pasukan yang mempunyai pemain Muslim boleh berbincang dengan pengadil untuk menghentikan seketika permainan secara semula jadi bagi membolehkan mereka mengambil makanan ringan atau gel tenaga bagi memulihkan tenaga.
Di United Kingdom, Ramadan tahun ini berlangsung dari 17 Februari hingga 18 Mac, dengan waktu matahari terbenam hujung minggu ini sekitar jam 5.30 petang GMT.
Jika dimohon, kemungkinan akan ada hentian singkat selepas waktu berbuka ketika West Ham United menerima kunjungan Bournemouth pada Sabtu, atau aksi Tottenham Hotspur menentang Arsenal pada Ahad.
Antara pemain Muslim dalam EPL termasuk El Hadji Malick Diouf (West Ham), Dango Ouattara (Bournemouth), Djed Spence (Tottenham) dan William Saliba (Arsenal), selain bintang seperti Mohamed Salah dari Liverpool serta Amad Diallo dari Manchester United.
Pada 2021, perlawanan membabitkan Leicester City dan Crystal Palace menyaksikan Wesley Fofana serta Cheikhou Kouyate dibenarkan berbuka puasa di tepi padang.