Pemain Badminton Malaysia Kalah Berjemaah

Foto Berita Harian

KUALA LUMPUR: Perjalanan beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah di Terbuka Malaysia berakhir pada pusingan kedua selepas tewas kepada pasangan Indonesia, hari ini.

Dalam aksi mendebarkan di Axiata Arena, sandaran negara itu tewas 24-26, 17-21 kepada Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari dalam tempoh 54 minit.

Keputusan itu meleburkan rekod bersih Pearly-Thinaah ke atas lawan itu sekali gus menjadi kekalahan pertama mereka selepas memenangi empat pertemuan terdahulu termasuk pada temasya Sukan SEA 2025 di Bangkok, bulan lalu.

Pasangan profesional badminton lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani gagal melangkah jauh di laman sendiri apabila tersungkur di pusingan kedua.

Foto Berita Harian

Pasangan ranking ketujuh dunia itu gagal menyaingi kehebatan beregu England, Ben Lane-Sean Vendy apabila tewas 13-21, 17-21.

Keputusan itu adalah kekalahan kedua berturut-turut mereka kepada pasangan ranking ke-15 dunia dari England itu.

Cabaran negara dalam acara perseorangan lelaki pula berakhir seawal pusingan kedua selepas wakil tunggal, Leong Jun Hao tewas.

Jun Hao, pemain ranking ke-28 dunia terpaksa akur tewas kepada jaguh Indonesia, Jonatan Christie 18-21, 11-21 dalam pertarungan 55 minit.

Foto Berita Harian