
KUALA LUMPUR: Kuartet 4X100 meter wanita negara mampu mengejutkan lawan dan memenangi pingat, kata ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Manshahar Abdul Jalil.
Beliau yakin kuartet 4×100 meter Wanita Malaysia mempunyai peluang cerah untuk meraih pingat di Sukan Sea Thailand, Disember depan.
Jelasnya, pelari pecut seperti Zaidatul Husniah Zulkifli yang turut beraksi dalam acara pecut 100m tetapi berdasarkan kedudukan semasa di rantau ini, beliau lebih melihat tumpuan di acara berpasukan lebih berbaloi.
Katanya, dengan prestasi semasa pelari negara, mereka dilihat mempunyai potensi untuk mengintai kedudukan podium meskipun menyedari bakal menerima tentangan sengit daripada beberapa negara lain.
“Buat masa ini kita tahu bahawa ranking untuk Zaidatul Husniah masih dalam kedudukan tempat keenam dan saya yakin bahawa negara luar macam Singapura ada Shanti Pereira, dia memang (melakukan) catatan masa yang sangat konsisten, Olympian dan memenangi banyak kejohanan sebelum ini selain pengalamannya pun cukup luas,” katanya.