Peluang JDT Takluk Asia Diramal Tipis

Foto Berita Harian

KUALA LUMPUR: Wakil tunggal negara di Liga Juara-Juara Elit (ACLE), Johor Darul Ta’zim (JDT) tampak perlu bekerja keras selepas diramal hanya memiliki lima peratus untuk menjulang trofi berprestij benua Asia itu.

Jangkaan itu didedahkan laman sesawang yang mahir dalam pengiraan mata ranking, FootyRankings yang membuat ramalan itu berdasarkan laman bola sepak terkenal, Opta Power Rankings.

Ketika ini, skuad Harimau Selatan berada dalam kelompok 10 pasukan terbaik Asia dengan laman Opta Power Rankings menyenaraikan kelab itu pada kedudukan kelapan.

FootyRankings meramalkan kelab Arab Saudi bakal menjadi pilihan untuk menjuarai ACLE dengan Al-Hilal menjadi pasukan pilihan utama dengan 28 peratus.

Al-Ittihad pula diramal memiliki 17 peratus sementara juara bertahan, Al-Ahli dengan 16 peratus.

Tiga wakil Jepun pula iaitu Sanfreece Hiroshima dengan enam peratus disusuli Vissel Kobe dan Machida Zelvia masing-masing dengan lima peratus.