Pele Palestin Terkorban di Gaza

Foto IHSAN X

Dunia bola sepak Palestin kehilangan permata berharga apabila bekas penyerang kebangsaan, Suleiman al-Obeid, 41, digelar ‘Pele Palestin’, terkorban dalam serangan udara rejim Israel di selatan Gaza, kelmarin.

Menurut Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA), Obeid maut ketika sedang menunggu bantuan kemanusiaan bersama orang awam lain apabila lokasi itu dibedil tentera Israel.

“Sepanjang kerjayanya, Obeid menjaringkan lebih 100 gol dan menjadi antara bintang paling bersinar dalam sejarah bola sepak Palestin,” kata PFA dalam satu kenyataan.

Anak kelahiran Gaza itu memulakan kariernya bersama Khadamat al-Shati sebelum menyertai Markaz Shabab al-Am’ari di Tebing Barat serta Gaza Sport. Dia menyarung jersi kebangsaan sejak 2007, mengumpul 24 kaps dan dua jaringan termasuk sepakan gunting menakjubkan ketika menentang Yaman dalam Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asia Barat 2010.