
KUALA LUMPUR: Peguam sukan antarabangsa, Serge Vittoz yang mewakili Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan sebarang salah laku seharusnya ditujukan kepada individu yang terbabit dan bukannya FAM
Penegasan beliau itu adalah susulan dalam rayuan terhadap hukuman dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berikutan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain berdarah warisan.
Menurut Serge, tujuan utama rayuan itu adalah untuk membatalkan keputusan terdahulu, sekali gus membebaskan pemain dan FAM daripada sebarang liabiliti selain meminta supaya tanggungjawab badan induk itu dinilai secara mitigasi.
Beliau menegaskan, rayuan berkenaan difailkan bukan untuk menafikan kewujudan dokumen yang dipertikaikan, sebaliknya bagi menjelaskan bahawa FAM sebagai organisasi tidak terbabit secara langsung dalam sebarang tindakan pemalsuan.
“Tujuan rayuan ini membabitkan semua pihak dan menunjukkan bahawa tiada sebarang pemalsuan dilakukan oleh pemain dan FAM sebagai organisasi.
“Oleh itu, kesimpulan rayuan ini adalah untuk membatalkan keputusan terdahulu, membebaskan pemain dan FAM daripada sebarang liabiliti serta memohon supaya tanggungjawab FAM selaku institusi dipertimbangkan secara mitigasi,” katanya.
Serge turut menjelaskan, FAM tidak menafikan kewujudan dokumen yang menjadi pertikaian namun menegaskan bahawa dokumen berkenaan mematuhi dokumentasi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Bagaimanapun, katanya, perbezaan timbul apabila dokumen berkenaan tidak sepadan dengan sijil kelahiran asal yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa asing.