
KUALA LUMPUR: Pengurusan Harimau Malaya bakal mengupah peguam sukan terbaik untuk mengendalikan hukuman Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan negara kini.
Tindakan itu dilakukan untuk memastikan badan induk bola sepak tanah air serta tujuh pemain terbabit dapat khidmat untuk membela diri dan mungkin meraih pengurangan hukuman yang dianggap terlalu berat.
Pemerhati-pemerhati sukan menganggap kes sebegini tidak boleh dipandang ringan kerana ia membabitkan selok-belok undang-undang bolasepak antarabangsa yang kompleks.
Oleh itu, hanya peguam yang benar-benar mahir dan berpengalaman luas mampu memastikan setiap fakta, dokumen dan hujahan rayuan sampai ke meja FIFA tanpa sebarang kesilapan teknikal.
“Sudah pasti pengurusan skuad kebangsaan akan mengupah peguam dari luar negara bagi menguruskan kes ini.
“Adalah lebih baik menyerahkan kepada peguam untuk menguruskan kes berkenaan dengan mengharapkan ada perkara positif dapat dicapai kelak,” kata mereka.
FAM dan tujuh pemain warisan negara membabitkan Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca digantung selepas Jawatankuasa Tatatertib FIFA mendapati mereka melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan isu pemalsuan dokumen.