
KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah berjaya merampas kedudukan nombor satu ranking kelayakan Jelajah Dunia BWF daripada gandingan China, Liu Sheng Shu-Tan Ning.
Setelah mengumpul 104,860 mata, naib juara dunia itu mengatasi Sheng Shu-Tan Ning yang mengumpul 103,150 mata selepas pasangan China berkenaan tidak beraksi pada Terbuka Perancis dan Terbuka Hylo.
Ranking Jelajah Dunia BWF digunakan bagi menentukan lapan beregu terbaik yang layak beraksi di Final Jelajah Dunia (WTF) di Hangzhou dari 17 hingga 21 Disember ini.
Bagaimanapun, Pearly-Thinaah masih berada di tangga kedua ranking dunia di belakang pasangan China itu yang menduduki tangga teratas.
Namun, pencapaian muncul nombor satu dalam ranking Jelajah Dunia pastinya memberi suntikan moral buat mereka menjelang Masters Kumamoto di Jepun bermula Selasa ini.
Pearly-Thinaah kini memburu gelaran Jelajah Dunia ketiga musim ini, selepas menjuarai Terbuka Thailand dan Terbuka Artik di Finland.