Pearly-Thinaah Sandaran Bawa Pulang Mahkota All England

Foto BH

KUALA LUMPUR: Gandingan utama negara, Pearly Tan-M Thinaah membahu harapan tinggi untuk muncul juara pada saingan Seluruh England di Birmingham dari 3 hingga 8 Mac ini.

Menurut ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak status selaku beregu wanita nombor satu negara dan naib juara dunia menuntut Pearly-Thinaah membawa sasaran besar setiap kali melangkah ke gelanggang, apatah lagi pada kejohanan berprestij seperti Seluruh England.

“Sasaran kita memang seperti biasa, kita mahu menang (juara). Saya sudah cakap sebelum ini, Pearly-Thinaah memang tidak boleh lari daripada sasaran tinggi dalam setiap kejohanan yang mereka sertai.

“Dengan kedudukan dan pencapaian mereka sekarang, sasaran itu memang sudah jadi satu tanggungjawab,” katanya.

Rosman bagaimanapun mengakui cabaran utama yang perlu diatasi pasangan nombor dua dunia itu adalah mendapatkan semula rentak permainan selepas berehat lebih sebulan daripada aksi kompetitif.

Tempoh rehat panjang itu hadir selepas Pearly-Thinaah melakar sejarah muncul beregu wanita pertama negara dalam tempoh 15 tahun menjuarai Masters Indonesia, bulan lalu.