
Beregu utama wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah mencatat sejarah apabila kini menghuni ranking nombor dua dunia, pencapaian tertinggi sepanjang kerjaya mereka dan terbaik buat Malaysia dalam tempoh lebih sedekad.
Kemaskini rasmi ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengesahkan mereka memintas pasangan Jepun, Chiharu Shida-Nami Matsuyama selepas mara ke separuh akhir Terbuka China minggu lalu sekali gus melengkapkan rentetan prestasi konsisten sejak bulan lalu.
Pencapaian itu hadir tepat pada masanya sekali gus dijangka meletakkan mereka sebagai pilihan kedua di Kejohanan Dunia di Paris (25 Ogos hingga 1 September) dan seterusnya membuka peluang besar untuk mencipta sejarah sebagai gandingan wanita pertama Malaysia meraih pingat.
Kali terakhir Malaysia mempunyai pasangan setanding adalah pada tahun 2009 menerusi Chin Eei Hui-Wong Pei Tty, yang ketika itu pernah menduduki ranking nombor satu dunia namun tidak berjaya meraih pingat di kejohanan dunia.