
KUALA LUMPUR: Pearly Tan-M Thinaah mematahkan badi China dengan menewaskan gandingan Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian secara straight set dalam aksi pembukaan Kumpulan A, Jelajah Dunia Akhir BWF, hari ini.
Turun selaku pilihan pertama kejohanan, Pearly-Thinaah mempamerkan aksi tenang dan berdisiplin sebelum mencatat kemenangan 21-17, 21-11 dalam tempoh 46 minit.
Ini adalah kemenangan kedua daripada tujuh pertemuan menentang lawan sama sepanjang musim ini.
Thinaah mengakui persiapan rapi serta komunikasi berkesan menjadi kunci kejayaan mereka.
“Kami sangat gembira dengan kemenangan ini kerana fokus utama adalah bermain tanpa penyesalan, saling menyokong dan terus berkomunikasi walaupun ketika permainan tidak memihak kepada kami,” katanya.
Pearly pula mendedahkan pelan taktikal baharu diterapkan, termasuk meningkatkan kesabaran dalam rali panjang.
“Kami cuba pendekatan berbeza hari ini, termasuk kekal dalam rali panjang dan ia menjadi. Diharap momentum ini dapat diteruskan dalam perlawanan seterusnya,” katanya.
Kemenangan itu menyuntik keyakinan Pearly-Thinaah menjelang pertemuan menentang wakil Jepun, Rin Iwanaga-Kei Nakanishi, dengan rekod pertemuan jelas memihak kepada beregu nombor dua dunia itu.
Dalam satu lagi perlawanan, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, turut memulakan kempen Kumpulan B dengan langkah kanan selepas menewaskan rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai, 21-13, 21-13.
Tang Jie menegaskan status juara dunia tidak mengganggu fokus mereka.
“Apa yang dicapai sebelum ini adalah perkara lepas dan sekarang kami hanya fokus kepada apa yang perlu dilakukan setiap hari,” katanya.