Pearly-Thinaah Nyaris Terkandas

Foto BA Malaysia

KUALA LUMPUR: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah dipaksa bermandi peluh sebelum mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua badminton Masters China, hari ini.

Pilihan kedua kejohanan itu terpaksa mengharungi pertarungan sengit selama sejam 13 minit sebelum menundukkan gandingan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari dalam aksi tiga set yang mendebarkan.

Dalam aksi di Arena Shenzhen itu, Pearly-Thinaah yang menghuni ranking kedua dunia, tewas set pertama 20-22 namun bangkit memperkemaskan permainan menyamakan kedudukan dengan kemenangan 21-16 di set kedua.

Set penentuan sekali lagi menyaksikan kedua-dua pasangan saling kejar-mengejar mata sebelum pengalaman memihak kepada gandingan negara untuk memuktamadkan kemenangan dengan 22-20.

Kemenangan itu adalah yang kedua berturut-turut buat Pearly-Thinaah ke atas lawan sama selepas turut menewaskan mereka di Terbuka Hong Kong, minggu lalu namun dengan cara berbeza.

Sementara itu, nasib berbeza menimpa satu lagi beregu wanita negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing apabila perjuangan mereka tersekat di pusingan pertama.