
KUALA LUMPUR: Harapan untuk melihat Malaysia menamatkan Kejohanan Badminton Dunia 2025 dengan dua gelaran juara tidak kesampaian apabila pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah, terpaksa akur kepada kehebatan beregu nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning, dalam aksi final yang berlangsung di Adidas Arena, Paris, semalam.
Pasangan yang kini menduduki ranking kedua dunia itu tewas 14-21, 22-20, 17-21 sekali gus menamatkan kempen mereka sebagai naib juara dunia.
Kekalahan itu bagaimanapun tidak menenggelamkan pencapaian cemerlang kontinjen badminton negara, selepas satu lagi wakil Malaysia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, mencipta sejarah menjadi juara dunia kategori beregu campuran.
Pasangan itu menewaskan pilihan China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, dengan keputusan 21-15, 21-14 dalam tempoh hanya 40 minit, sekali gus menyumbang kejuaraan dunia kedua untuk Malaysia selepas pencapaian bersejarah oleh Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam kategori beregu lelaki pada 2022.
Walaupun Pearly-Thinaah tewas ia adalah kekalahan bermaruah kerana perjuangan dan semangat mereka cukup terpuji.