Pearly-Thinaah juarai Terbuka Artik, Aaron-Wooi Yik kecundang

Foto BA Malaysia

KUALA LUMPUR: Hanya 32 minit diperlukan oleh beregu wanita negara, Pearly Tan–M Thinaah untuk menundukkan lawan dari Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakashini dalam perlawanan akhir badminton Terbuka Artik di Arena Energia, Finland.

Kemenangan itu membuktikan status mereka selaku antara gandingan terbaik dunia apabila menjuarai Terbuka Artik 2025, sekali gus merangkul gelaran Jelajah Dunia BWF kedua musim ini.

Pasangan nombor dua dunia dan naib juara dunia itu mempamerkan aksi bertenaga serta tersusun untuk menundukkan beregu Jepun itu dengan kemenangan 21-7, 21-9.
.
Pearly-Thinaah bermain agresif dengan serangan tajam serta kawalan gelanggang yang kemas, memaksa lawan dari Jepun itu melakukan banyak kesilapan.

Set kedua menyaksikan mereka terus mengekalkan momentum dengan corak permainan pantas dan berdisiplin, tidak memberi peluang kepada Iwanaga-Nakashini untuk bangkit.
Pertahanan kukuh dan komunikasi mantap antara kedua-duanya menjadi kunci kepada kemenangan mudah itu.

Selaku juara, Pearly-Thinaah membawa pulang hadiah wang tunai AS$37,525 (RM158,543), manakala Iwanaga-Nakashini, menerima AS$18,050 (RM76,261) selaku naib juara.

Sementara itu, beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik gagal mengikuti jejak kemenangan Pearly Tan-Thinaah apabila tewas kepada pasangan Inggeris Ben Lane-Sean Verdy 18-21, 27-25 dan 17-21.