Pearly-Thinaah Cipta Sejarah di Kejohanan Dunia

Foto BA Malaysia

KUALA LUMPUR: Sejarah tercipta di Paris apabila Pearly Tan-M Thinaah mengukir nama mereka dalam rekod badminton negara dengan menjadi gandingan beregu wanita pertama Malaysia yang berjaya memenangi pingat di Kejohanan Dunia, semalam.

Kejayaan membanggakan itu diperoleh selepas pasangan nombor dua dunia itu mengesahkan kemaraan ke peringkat empat terbaik dengan menewaskan gandingan adik-beradik dari Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva di peringkat suku akhir di Adidas Arena.

Seperti dijangka, aksi dominan ditampilkan Pearly-Thinaah yang meraih kemenangan straight set 21-15, 21-10 sekali gus menjamin sekurang-kurangnya pingat gangsa dalam genggaman mereka.

Kemenangan itu adalah yang keempat daripada lima pertemuan menentang pasangan Stoeva dan meneruskan penguasaan mereka selepas turut menewaskan lawan yang sama di Terbuka Jepun bulan lalu.

Kemaraan ke peringkat separuh akhir adalah pencapaian terbaik Pearly-Thinaah di Kejohanan Dunia dalam empat penampilan sebelum ini. Kejayaan terbaik mereka sebelum ini adalah di suku akhir pada edisi 2023.