
KUALA LUMPUR: Pengendali Selangor FC Kim Pan Gon memohon maaf kepada penyokong Gergasi Merah selepas gagal memastikan slot ke Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) musim hadapan, namun menegaskan pasukan menunjukkan perkembangan positif sejak beliau mengambil alih. Beliau berkata persembahan barisan pemain memberi sinar dan momentum yang perlu diteruskan untuk membina pasukan yang lebih kukuh bagi musim baharu.
Pan Gon berkata beliau dapat melihat kesungguhan dan perkembangan pasukan dari segi pembinaan karakter, DNA Selangor dan gaya bola sepak menyerang yang mendominasi permainan serta menjaring banyak gol. Beliau menggesa penyokong kekal bersatu dan tidak berputus asa kerana Selangor masih mempunyai harapan cerah untuk masa depan.
Selangor terpaksa melupakan impian ACL2 meskipun menutup kempen Liga Super dengan kemenangan besar 6-0 ke atas PDRM FC di Stadium MBPJ. Ini berikutan pencabar terdekat mereka, Kuching City FC mengesahkan tempat naib juara Liga Super selepas menang 1-0 ke atas KL City FC di Stadium Negeri, mengatasi Selangor dengan kelebihan satu mata sahaja.
Kuching City FC akan mengiringi juara Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) ke pentas Asia musim hadapan, manakala Selangor perlu bangkit semula dan memperbaiki prestasi bagi memastikan mereka tidak terlepas peluang sama pada musim akan datang. Pan Gon yakin asas yang dibina musim ini akan menjadi batu loncatan untuk kejayaan lebih besar bersama Gergasi Merah.