Orang luar jangan sibuk: Dollah Salleh

Foto Berita Harian

KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Dollah Salleh, berkata orang luar tidak perlu sibuk, sebaliknya menyerahkan kepada kebijaksaan ahli gabungan untuk memilih individu yang layak memimpin FAM.

Semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif meletak jawatan pada 28 Januari lalu manakala ada pihak yang menyarankan ‘orang lama’ tidak dipilih semula untuk memimpin badan induk itu.

Dollah bagaimanapun, menegaskan bahawa hanya ahli gabungan berhak menentukan siapa yang layak bertanding termasuk jika mereka mahu terus memberi mandat kepada orang lama demi memulihkan kembali imej bolasepak negara.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, pihak tertentu tiada hak untuk menentukan siapa yang layak untuk bertanding merebut jawatan dalam FAM memandangkan kerusi itu hanya boleh ditentukan oleh ahli gabungan.

“Benda ini yang menentukan bukan siapa-siapa, ahli gabungan yang menentukan. Kalau ada orang luar nak sibuk, itu bukan urusan mereka. Kalau rasa layak, sila bertanding, tapi semua tertakluk kepada ahli gabungan. Jangan ganggu proses yang sudah ditetapkan.

“Kalau ada yang nak pertikaikan, silakan. Namun, benda ini bukan untuk orang luar campur tangan. Kami buat semua ini untuk FAM, bukan untuk kepentingan diri sendiri. Kalau diberi peluang bertanding semula pun, itu semua terpulang kepada ahli gabungan, bukan kami yang tentukan,” katanya.