
KUALA LUMPUR: Harapan Malaysia untuk mempertahankan gelaran acara keirin elit wanita di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) tidak kesampaian apabila ratu berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Asri dikenakan penurunan kedudukan dalam perlumbaan akhir.
Juara bertahan edisi 2025 itu pada awalnya melintasi garisan penamat di tempat kedua, namun diturunkan ke kedudukan kelima selepas pegawai perlumbaan memutuskan dia menolak seorang pelumba Korea Selatan dalam final di Velodrom Bandar Tagaytay.
Seorang lagi pelumba negara, Nur Alyssa Farid, turut gagal mencabar kedudukan pingat selepas menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh dalam final sama.
China menguasai perlumbaan itu dengan Yuan Liying meraih emas di hadapan rakan senegara, Wang Lijuan, manakala Haruka Nakazawa dari Jepun memenangi gangsa.
Malaysia turut terlepas peluang meraih podium dalam keirin elit lelaki apabila Fadhil Zonis menamatkan saingan di tempat keempat selepas dipintas pada peringkat akhir perlumbaan.
Ridwan Sahrom berada di kedudukan ketujuh ketika China terus mempamerkan dominasi dalam acara keirin.