
Aksi Piala Sumbangsih esok (Jumaat ini) boleh dianggap sebagai pertembungan idaman apabila menemukan dua pencabar utama dalam Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor.
Atas kertas, JDT tampak memiliki kelebihan besar untuk menjulang trofi itu buat kali ke-10 berdasarkan skuad bintang yang dimiliki mereka selain akan beraksi di laman sendiri, Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Malah, ada yang menganggap skuad Harimau Selatan akan mengaum lebih kuat musim ini dan Selangor mungkin menjadi mangsa pertama pasukan kendalian Xisco Munoz itu.
Bekas pemain Johor, Rizal Sukiman menjangkakan JDT akan tampil dengan persembahan lebih dahsyat berbanding musim lalu selepas membawa masuk beberapa ‘senjata’ baharu termasuk empat pemain warisan Jon Irazabal, Nacho Mendez, Joao Figueiredo dan Hector Hevel serta bintang import Antonio Glauder, Jairo Da Silva, Teto Martin dan Moussa Sidibe.