
KUALA LUMPUR: Jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi mengakui terdapat kekurangan dalam permainan pasangan negara sehingga gagal layak ke separuh akhir Kejohanan Dunia di Paris.
Justeru, beliau mengambil tanggungjawab itu kerana beregu negara hanya mampu melangkah sehingga ke suku akhir biarpun ada antara mereka yang diletakkan harapan tinggi seperti pasangan nombor dua dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
“Pertama sekali, sebagai jurulatih saya ingin meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana beregu lelaki tidak dapat menghadiahkan sebarang gelaran pada Kejohanan Dunia kali ini.
“Prestasi Aaron-Wooi Yik juga tidak seperti yang dijangka kerana saya mengharapkan mereka boleh melangkah lebih jauh. Prestasi mereka memang kurang baik dan tidak bagus selain terlalu banyak kesilapan.
“Permainan sebenar mereka hanya kelihatan pada penghujung set kedua tetapi ketika itu sudah ketinggalan jauh. Jadi, kali ini beregu lelaki gagal untuk memberikan kejuaraan,” katanya.
Pada kejohanan itu, Malaysia menghantar empat wakil antaranya Aaron-Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King dan beregu profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.
Tetapi hanya bekas juara dunia dan Wei Chong-Kai Wun sahaja yang mampu mara sehingga kelompok lapan terbaik sebelum tewas kepada lawan masing-masing.
Namun, jurulatih kelahiran Indonesia itu masih optimis dan melihat perkembangan positif terutama buat juara Malaysia Masters yang menunjukkan peningkatan agak baik dan hampir mengejutkan gandingan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.