
KUALA LUMPUR: Ada kemungkinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pasukan Harimau Malaya menerima hukuman tambahan susulan isu dokumentasi tujuh pemain warisan.
Rabu lalu, FAM memaklumkan hukuman terbaru dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang membatalkan keputusan tiga aksi persahabatan Harimau Malaya sebelum ini dan memberi kemenangan kepada pasukan lawan.
Keputusan itu dianggap bukan mengejutkan, malah ia sudah dijangka berdasarkan pendirian tegas FIFA berhubung isu dokumentasi tujuh pemain warisan Harimau Malaya iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Pemerhati bolasepak tempatan yang juga bekas Naib Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim menjangkakan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) juga akan mengikut jejak langkah FIFA sekiranya rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) tidak memihak kepada FAM.
Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu menjelaskan, apa sahaja keputusan yang akan dibuat oleh AFC selepas ini harus diterima dengan hati terbuka oleh semua pihak.
Malah, beliau menganggap hukuman yang dikenakan terhadap FAM itu harus dijadikan pengajaran dan apa yang penting semua pihak perlu mencari jalan untuk menaikkan semula imej bolasepak negara.
“Kita memang sudah agak akan kena tindakan ini (pembatalan keputusan aksi persahabatan oleh FIFA) sebab kalau FIFA sudah kata tujuh pemain itu tidak sah, maka keputusan perlawanan juga tidak sah.
“Namun, saya suka memandang perkara ini supaya kita semua belajar dari kesilapan dan inilah harga yang kita kena bayar. Saya tidak terkejut dengan keputusan FIFA dan perkara itu sebenarnya sudah dijangka, cuma hanya tunggu masa untuk diumumkan.
“Kita semua pun patut bersedia dengan kemungkinan akan ada lagi hukuman selepas ini, sebab AFC sudah tentu akan ikut ‘bapa’ mereka iaitu FIFA. Jadi kalau FIFA sudah jatuhkan hukuman, mereka pun akan ikut juga,” katanya.