Muay Thai: Selangor sedia jalin kerjasama dengan Jojo

Foto FB Muhammad Johan Ghazali

KUALA LUMPUR: Bagi memperkukuh pembangunan sukan Muay Thai, Selangor bersedia menjalin kerjasama dengan atlet profesional Muay Thai Johan Ghazali yang lebih dikenali dengan Jojo.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri, Mohd Najwan Halimi, berkata pertemuan dengan atlet muda berusia 19 tahun itu semalam membuka ruang kepada perbincangan awal mengenai cadangan naik taraf ekosistem latihan Muay Thai.

“Beliau (Jojo) menyatakan hasrat dan komitmen untuk berperanan lebih aktif dalam pembangunan sukan Muay Thai dalam skala lebih besar iaitu merangkumi negeri termasuk masa depan cerah negara.

“Jojo turut berkongsi pengalaman beliau menjalani latihan di Bangkok, Thailand serta mengemukakan beberapa cadangan yang beliau percaya mampu memacu perkembangan Muay Thai di Selangor,” katanya.

Mohd Najwan berkata Jojo kini menjalani latihan intensif sepenuh masa di Bangkok berikutan kekurangan fasiliti, kepakaran jurulatih dan ruang pembangunan sukan itu di seluruh Malaysia.

Beliau berkata Thailand menjadi pilihan utama Jojo kerana sokongan terhadap pembangunan Muay Thai di dalam negara masih belum mencapai tahap optimum.

“Beliau membangkitkan keperluan meneliti penubuhan sebuah hab atau pusat latihan khusus untuk atlet Muay Thai di Selangor.