
KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai peluang cerah untuk memenangi lebih banyak pingat di Sukan SEA Thailand 2025 berdasarkan pasukan terbaik dihantar sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA 2027 di Kuala Lumpur.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin, berkata beberapa siri perbincangan dengan persatuan sukan diadakan sebelum pendaftaran senarai atlet ke Majlis Olimpik Malaysia (MPM) yang berakhir pada 1 September lalu.
“Pada edisi 2022 di Vietnam, kita menghantar 52 peratus atlet muda, di Kemboja kali kedua dan penyertaan ini kali ketiga. Jadi, mereka sudah mempunyai pengalaman bertanding pada peringkat Sukan SEA… kita akan hantar atlet terbaik.
“Mana-mana persatuan yang telah daftar, saya rasa mereka senaraikan atlet terbaik dan terkuat mereka ke Sukan SEA kali ini,” kata Jefri.
Mengulas tentang sasaran pingat, Jefri berkata Malaysia mempunyai peluang lebih baik berbanding edisi 2023 di Kemboja yang menyaksikan banyak acara tradisi tempatan dipertandingkan.