
KUALA LUMPUR: Gabungan ilmu dan pengalaman legenda badminton Malaysia, Datuk Misbun Sidek dengan Rajinikanth dipercayai boleh melahirkan pemain nombor satu dunia kali keempat, kali ini di India.
Misbun bekerjasama dengan jurulatih India, Rajinikanth yang berpangkalan di Tamil Nadu dalam projek kejurulatihan pertamanya di luar Malaysia.
Jurulatih berusia 65 tahun itu, yang terkenal kerana membimbing Datuk Seri Lee Chong Wei, mengambil peranan di Pusat Badminton Hatsun di Sivakasi, bandar yang dikenali sebagai pengeluar bunga api terbesar India.
Seperti biasa, Misbun sudah mula memburu bakat besar seterusnya. Hanya segelintir jurulatih memiliki CV sehebat beliau.
Rekod Misbun luar biasa. Dia melahirkan tiga pemain nombor satu dunia, iaitu adiknya Datuk Rashid Sidek, Roslin Hashim dan Chong Wei dan beliau yakin tugasnya belum selesai.
“Badminton India kini melahirkan ramai bakat muda, terutama dari kelab dan ramai sudah beraksi di peringkat antarabangsa,” kata Misbun dalam video yang dikeluarkan kelabnya, Nusa Mahsuri.
“Itulah sebabnya saya menerima tawaran ini untuk menyumbangkan khidmat saya.
“Saya sudah melahirkan tiga pemain nombor satu dunia – Rashid, Roslin dan Chong Wei – dan kini masih mencari yang keempat,” katanya.
“Mungkin pemain itu berada di India dan inilah yang ingin saya ketahui.”
Satu nama sudah menarik perhatiannya iaitu pemain nombor 88 dunia, S Rithvik Sanjeevi, juara Masters Odisha 2024, yang berpotensi menjadi bintang muda India.