MFL Gantung, Denda Sri Pahang, Kedah dan Perak

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Tiga ‘alumni’ Liga Super masing-masing Sri Pahang FC (SPFC), Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Perak FC menerima padah selepas menarik diri dan gagal mendapatkan lesen kebangsaan bagi musim 2025/26.

Ini selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengenakan penggantungan sekali gus menyaksikan mereka ‘direhatkan’ daripada menyertai kancah divisyen satu itu selain turut dikenakan denda.

Malah, lebih malang, tiga pasukan itu juga tidak akan mendapat wang agihan secara merit selepas berakhirnya Liga Malaysia (Liga M) 2024/25.

Badan pengendali liga itu dalam satu kenyataan menegaskan, keputusan itu dibuat berdasarkan perlembagaan MFL ke atas mana-mana pasukan yang menarik diri daripada Liga M dan tidak akan menerima sebarang manfaat daripada MFL.

Kenyataan sama turut menyatakan larangan daripada aktiviti bola sepak sebagai sekatan ke atas Rakan Kongsi apabila MFL memutuskan status penyingkiran Kelab Rakan Kongsi dan pengurusan Kelab Rakan Kongsi terbabit.

“Justeru, Ahli Lembaga Pengarah MFL membuat keputusan untuk menggantung SPFC yang menarik diri daripada menyertai semua pertandingan anjuran MFL selama satu musim berkuat kuasa bermula musim 2025/2026.

“Kedah Darul Aman FC dan Perak FC yang gagal mendapatkan lesen kebangsaan pada musim 2025/26 pula masing-masing digantung daripada menyertai semua pertandingan anjuran MFL selama dua musim berkuat kuasa bermula musim 2025/26 sehingga 2026/27,” kata MFL.

Sebagai rekod, skuad ‘Tok Gajah’ menjadi antara pasukan yang mendapat lesen kebangsaan bagi musim 2025/26 namun membuat keputusan untuk menarik diri daripada saingan profesional itu.