Melaka juara Piala Tun Ali, menang RM15,000

Foto Bernama

MELAKA: Regu sepaktakraw lelaki Melaka menewaskan Kedah 2-0 di perlawanan akhir menjuarai acara regu Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2025 di Dewan Bola Keranjang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Bukit Serindit di sini semalam.

Melaka yang dibarisi pemain kebangsaan Mohd Azlan Alias selaku apit kanan, tekong import dari Thailand Pongsatorn Phong-Udtha dan apit kiri Muhammad Zaim Razali cemerlang untuk mencatat kemenangan 17-14 dan 15-12 dalam masa 53 minit.

Kejayaan itu menebus kekecewaan Melaka dalam tiga edisi terdahulu, selain pernah muncul naib juara pada 2022.

Kedah yang dibarisi tekong Amar Roslan, perejam dari Thailand Loesak Kuram serta Zulhusni Basri tetap memberikan saingan sengit walaupun gagal menyekat kemaraan Melaka Titans.

Selaku juara, Melaka membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 berserta trofi yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam, manakala Kedah selaku naib juara menerima RM10,000 berserta piala.

Melaka turut mendominasi anugerah individu apabila Pongsatorn dinobatkan sebagai Tekong Terbaik dan Mohd Azlan sebagai Apit Kanan Terbaik, sementara pemain Kedah Zulhusni Basri dipilih Apit Kiri Terbaik.

Dalam acara kuadran yang pertama kali diperkenalkan pada edisi kali ini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) muncul juara selepas menewaskan Perak 2-0 menerusi keputusan 17-16 dan 15-9 pada aksi final.

ATM membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dan piala dan Perak menerima RM8,000, manakala tempat ketiga dikongsi bersama pasukan yang tewas pada separuh akhir iaitu MSSM-KPM dan Terengganu masing-masing menerima RM4,000.

Bagi acara regu wanita pula, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menundukkan Sabah 2-0 dengan kemenangan 15-9, 15-9 untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dan piala.

Sabah menerima hadiah bernilai RM3,000, manakala tempat ketiga dikongsi pasukan yang tewas pada separuh akhir, Selangor dan Perak yang masing-masing memperoleh RM1,000.