
BANGKOK: Selama 20 tahun, Malaysia kemarau pingat emas badminton lelaki dan inilah masanya untuk menoktahkannya apabila pasukan negara mara ke pentas final acara berpasukan Sukan SEA 2025.
Skuad badminton lelaki negara menundukkan tuan rumah, Thailand 3-1 dalam aksi separuh akhir di Gimnasium Thammasat Rangsit.
Kejayaan terbaru itu membolehkan skuad negara berpeluang menamatkan penantian 20 tahun untuk meraih emas berpasukan lelaki dengan kali terakhir dicapai pada Sukan SEA 2005 di Filipina.
Malaysia akan bertemu seteru utama dan juga juara bertahan, Indonesia pada aksi final, Rabu ini selepas mereka menewaskan Singapura 3-1 pada satu lagi aksi separuh akhir.
Pada aksi hari ini, pemain perseorangan negara, Leong Jun Hao tewas kepada sensasi Thailand, Kunlavut Vitidsarn 15-21, 15-21 dalam tempoh 56 minit.
Beregu utama negara yang menduduki ranking kedua dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyamakan kedudukan apabila menewaskan Supak Jomkoh-Peeratchai Sukphun 21-18, 21-19.
Perseorangan kedua negara, Justin Hoh cemerlang apabila mencatatkan kemenangan 21-10, 21-17 ke atas Panitchaphon Teeraratsakul dalam tempoh 40 minit.
Ini adalah kemenangan kedua pemain yang menduduki ranking ke-38 dunia itu ke atas lawannya itu.
Beregu kedua negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mengesahkan kemenangan skuad negara selepas menewaskan gandingan Dechapol Puavannukroh-Pakkapon Teeraratsakul 21-14, 18-21, 21-17.