
KUALA LUMPUR: Malaysia mampu mencipta kejutan pada kempen Piala Thomas 2026 yang akan berlangsung di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei ini, ramal legenda badminton negara, Rashid Sidek.
Menurutnya, kejohanan berpasukan berprestij itu sering menyaksikan keputusan di luar jangkaan dan membuka peluang kepada mana-mana pasukan untuk tampil menyerlah sekiranya mempamerkan semangat berpasukan tinggi.
Beliau berkata, kekuatan skuad negara ketika ini dilihat seimbang dengan kombinasi mantap antara pemain beregu dan perseorangan yang mampu menyumbang mata penting buat pasukan.
Rashid juga menegaskan prestasi semasa pemain utama negara seperti Lee Zii Jia tidak seharusnya dijadikan ukuran mutlak untuk meragui peluang Malaysia dalam kejohanan berkenaan.
“Ini acara berpasukan. Kalau satu tumbang, yang lain boleh bantu dan tutup kekurangan itu.
“Paling penting adalah semangat pasukan serta matlamat yang sama untuk membawa kemenangan kepada negara,” katanya.