
KUALA LUMPUR: Mengungguli semua empat acara pada hari terakhir saingan di Stadium Juara Bukit Kiara di sini semalam, skuad boling padang Malaysia muncul juara keseluruhan Kejohanan Boling Padang Jemputan 7 Negara 2026.
Kejohanan dijalankan mengikut format rasmi temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Skuad kebangsaan bimbingan ketua jurulatih Fairul Izwan Abd Muin membuktikan penguasaan masing-masing dalam acara singles lelaki dan wanita serta pairs lelaki dan wanita.
Gandingan Malaysia C, Nur Syafira Mohamad Rezuan-Nurul Balqis Anisha Bakar membuka tirai kejayaan Malaysia selepas menewaskan pasangan Hong Kong Cheryl Chan-Helen Cheung 2-1 dalam final pairs wanita.
Kejayaan kem negara seterusnya hadir menerusi kemenangan wakil Malaysia B, Nor Farah Ain Abdullah yang menjuarai singles wanita selepas mengatasi Nayanmoni Saikia dari India 2-1.
Gandingan pairs lelaki Malaysia B, Muhammad Naufal Azmi-Fadley Jabal menambah keceriaan kem negara selepas menundukkan Alex Brennan-Trystan Smallacombe dari Wilayah Utara Australia 2-1 sebelum wakil singles lelaki Malaysia A, Izzat Shameer Dzulkeple melengkapkan kejayaan apabila mengatasi Shannon Mcilroy dari New Zealand Silver 2-1 dalam final lelaki singles.
Berdasarkan kutipan mata, Malaysia B dinobatkan juara keseluruhan selepas mengumpul 25 mata, diikuti Malaysia A kedua, berkongsi 24 mata dengan New Zealand Silver di kedudukan ketiga.