Malaysia Bolot 10 Pingat Emas Olahraga

Foto Stadium Astro

JAKARTA: Kem olahraga negara menamatkan cabaran Sukan SEA Pekak 2025 dengan menyapu bersih kesemua 10 pingat emas yang dipertandingkan selain turut merangkul lapan perak dan dua gangsa.

Kejayaan luar biasa itu bukan sekadar menobatkan Malaysia sebagai kuasa besar olahraga pekak Asia Tenggara, malah meniupkan rasa bangga seluruh rakyat apabila Jalur Gemilang terus megah berkibar di bumi Indonesia.

Ketua jurulatih pasukan Mohd Amiludin Mohd Amin menzahirkan rasa syukur selepas kem kebangsaan melepasi sasaran awal enam emas yang ditetapkan.

“Sebenarnya pasukan olahraga negara lain juga hebat, contohnya Indonesia, Filipina dan Laos. Mungkin mereka sendiri tidak menyangka yang atlet kita dapat mengatasi mereka terutamanya Indonesia sebab pelari mereka memang kuat,” katanya.
kepada pemberita di sini hari ini.

Kesemua 10 pingat emas itu hadir menerusi Azlan Kuste (800 meter lelaki), Muhammad Shahrul Azmer Azman (400m lelaki), Muhammad Zamir Azman (100m lelaki), Nur Andrina Zainuddin (100m wanita) serta pasukan kuartet 4x100m lelaki, yang kesemuanya berlangsung kelmarin.

Sementara itu, pada aksi hari terakhir semalam, tambahan lima emas disumbangkan oleh Azlan Kuste (1,500m lelaki), Muhammad Shahrul Azmer Azman (200m lelaki), Nur Andrina Zainuddin (200m wanita), kuartet 4x400m lelaki dan Zaiman Megat Abu (lompat jauh).