
KUALA LUMPUR: Sesudah dibelasah 7-0 oleh Vietnam dalam perlawanan pertama, Malayan Tigress kecundang lagi, kali ini di tangan Myanmar
Kekalahan kedua 3-0 di tangan Myanmar dalam aksi kumpulan B itu menutup peluang skuad bolasepak wanita negara untuk melangkah ke separuh akhir Sukan SEA 2025.
Impian ke separuh akhir akan lebur sepenuhnya jika juara bertahan, Vietnam menewaskan Filipina dalam satu lagi perlawanan selepas ini.
Myanmar mendominasi permainan namun barisan pertahanan negara berdisiplin sehingga berjaya mematahkan beberapa gerakan serangan Myanmar.
Pemain negara, Nur Lyana Soberi menyelamatkan gawang apabila mengeluarkan tandukan May Htet Lu berpunca daripada sepakan sudut pada minit ke-11.
Penjaga gol negara, Nurul Azurin Mazlan cemerlang menafikan percubaan Win Theingi Tun dari dalam kotak penalti pada minit ke-24 untuk memastikan kedudukan kekal 0-0.
Bagaimanapun, gawang negara akhirnya bocor selepas San Thaw Thaw meledak gol pembukaan buat Myanmar pada minit ke-26.
Pemenang pingat perak edisi 2023 itu memanfaatkan momentum diperolehi dengan menambah gol kedua pada minit ke-35 menerusi Htet Lu dan kedudukan 2-0 kekal hingga tamat babak pertama.
Selepas rehat, hasrat Malayan Tigress untuk bangkit bertambah sukar apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Nur Adrienna Zamzaihiri dilayangkan kad merah pada minit ke-58.
Kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya Myanmar untuk Theingi Tun meledak gol ketiga pada minit ke-65 sekali gus melengkapkan kemenangan 3-0 buat Myanmar.