Legenda Badminton Tan Yee Khan Meninggal

Foto Zack Rahim

KUALA LUMPUR: Legenda badminton negara, Datuk Tan Yee Khan meninggal dunia pada usia 85 tahun.

Timbalan Presiden I Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk V Subramaniam, mengesahkan berita kematian legenda beregu itu yang pernah menjulang Piala Thomas 1967 di Jakarta.

Subramaniam menyifatkan pemergian Yee Khan disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada dunia badminton negara.

“Bagi pihak BAM, saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang. Kita kehilangan seorang legenda, antara pelopor badminton negara pada awal 1960-an,” katanya.

Subramaniam berkata, pencapaian serta dedikasi Yee Khan dalam sukan itu membuka laluan dan menjadi inspirasi kepada generasi akan datang untuk menyerlah di pentas dunia.

Selain memenangi Piala Thomas edisi 1967, Yee Khan bersama gandingannya mendiang Datuk Ng Boon Bee dikenang sebagai antara beregu lelaki paling digeruni pada era 1960-an.

Pasangan itu memenangi pingat emas Sukan Asia (1962 dan 1966), juara All England (1965 dan 1966), Kejuaraan Asia pada 1965, emas Sukan Sea (1961, 1965 dan 1967) serta lima gelaran Terbuka Malaysia (1963, 1964, 1965, 1967 dan 1968).