
KUALA LUMPUR: Johor Darul Takzim (JDT) bukan sekadar cipta sejarah apabila layak ke suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) malah skuad Harimau Selatan itu turut meraih habuan lumayan atas pencapaian itu.
Juara Liga Super 11 kali berturut-turut itu meraih AS$400,000 (kira-kira RM1.57 juta) susulan kejayaan mara ke suku akhir selepas menyingkirkan kelab Jepun, Sanfrecce Hiroshima dengan agregat 3-2 di pusingan 16 terakhir.
Jumlah berkenaan menjadikan kelab milik Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail itu mengumpul kira-kira RM6.6 juta nilai ganjaran keseluruhan sepanjang kempen mereka di ACLE musim ini.
JDT sebelum ini meraih RM3.13 juta bagi penyertaan mereka di kejohanan itu dan memperoleh RM1.17 juta hasil daripada tiga kemenangan di peringkat liga.
Skuad kendalian Xisco Munoz kemudian meraih ganjaran tambahan RM784,600 susulan kejayaan mereka layak ke pusingan 16 terakhir.