
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) perlu enam minggu untuk menyiapkan laporan penuh berhubung isu dokumentasi tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Badan yang ditubuhkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi menyiasat kes membabitkan isu dokumentasi tujuh pemain warisan Harimau Malaya itu dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif.
Semalam mereka mengadakan mesyuarat pertama sebagai permulaan proses siasatan yang merangkumi isu dokumentasi tujuh pemain terbabit
Md Raus dalam kenyataan semalam memaklumkan jawatankuasa itu diberi mandat untuk meneliti kes berkenaan secara menyeluruh dan mengemukakan syor kepada FAM bagi tindakan susulan yang wajar diambil.
Beliau turut mengumumkan jawatankuasa berkenaan dianggotai bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Kamaludin Md Said; bekas Ketua Pengarah MAMPU, Datuk Seri Dr Yusof Ismail manakala peguam kanan, Datuk Thavailingarum C. Thavarajah bertindak sebagai setiausaha.
“Bagaimanapun, bagi mengelakkan sebarang konflik kepentingan, kemudahan pentadbiran dan bantuan sekretariat akan disediakan oleh Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (Peguamcara & Peguambela).
“IIC sudah mengadakan mesyuarat pertama dan akan berusaha sedaya upaya untuk menyiapkan siasatan serta menyediakan laporan kepada FAM dalam tempoh enam minggu,” katanya.