
MONTERREY: Jurulatih Belanda, Ronald Koeman mempertahankan keputusannya menurunkan lima pemain pertahanan ketika menentang Maghribi, meskipun taktik itu gagal menyelamatkan pasukannya daripada tersingkir pada pusingan 32 terbaik Piala Dunia. Belanda tewas 2-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan.
Pengendali berusia 63 tahun itu menegaskan beliau tidak menyesal dengan percaturan tersebut, walaupun menjangka bakal menerima kritikan. “Dengan pendekatan lebih bertahan ini, kami memberi sedikit peluang kepada lawan berbanding peringkat kumpulan, tetapi pada masa sama kurang mengancam di bahagian serangan,” katanya. Menurutnya, strategi itu dipilih berdasarkan analisis kekuatan Maghribi dan bukan kerana Belanda takut kepada lawan.
Koeman berkata, beliau mungkin dipuji sekiranya Maghribi tidak menjaringkan gol penyamaan pada saat akhir, namun kini terpaksa berdepan kecaman atas pilihan taktikalnya. “Anda berhak mengkritik saya, tetapi anda melihat bola sepak dari luar padang. Saya bersama pemain setiap hari dan tahu apa yang perlu diperbaiki. Jika diberi peluang sekali lagi, saya tetap akan membuat keputusan sama,” tegasnya.
Beliau turut menolak tanggapan bahawa pasukannya terlalu menghormati atau gentar kepada Maghribi, sambil menekankan Belanda masih menurunkan tiga penyerang. Maghribi kini akan bertemu Kanada pada pusingan 16 terbaik di Houston, awal pagi Ahad ini. — Reuters