Kerusi Presiden FAM Kembali Panas

KUALA LUMPUR – Kerusi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kembali kosong selepas Datuk Joehari Ayub meletakkan jawatan, tidak sampai enam bulan selepas beliau mengambil alih jawatan tersebut daripada Tan Sri Hamidin Mohamad Amin. Pengunduran ini, setelah mendapat mandat yang menyeluruh daripada ahli gabungan di kongres, menimbulkan rasa “kecewa dan meluat” dalam kalangan pemerhati sukan tempatan.

Bekas Ketua Pemasaran FAM, Sayf Ismail, menyifatkan situasi ini sebagai sesuatu yang janggal dan mengecewakan kerana ia seolah-olah mengembalikan usaha reformasi kepada titik mula. Peletakan jawatan tanpa sebarang berita jelas ini juga dilihat menjejaskan reputasi FAM, khususnya dalam mendapatkan kepercayaan penaja korporat.

Sementara itu, pemerhati sukan, Arnaz M. Khairul menambah bahawa isu ini hanyalah satu lagi “drama” yang mengalih tumpuan daripada masalah sebenar bola sepak negara, seperti isu gaji pemain yang berlarutan dan kegagalan menarik minat pemain muda terhadap industri bola sepak.

Dalam menghadapi kekosongan ini, beberapa nama telah disebut-sebut sebagai calon yang layak. Antaranya ialah Pemangku Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi, bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (KJ), dan ahli perniagaan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador. Walau bagaimanapun, Arnaz menjelaskan bahawa khabar angin mengenai Datuk Farhash sebagai calon adalah tidak betul dan dianggap “fake news”. Pilihan paling popular yang disebut-sebut adalah Tunku Mahkota Johor (TMJ), memandangkan sumbangan, peranan, dan kejayaan beliau dalam bola sepak Malaysia.

Foto Youtube Channel 10 Malaysia

Sayf juga menegaskan bahawa Presiden FAM yang baharu perlu menjadi seorang pemikir dan strategis, bukannya sekadar “fixer” atau pentadbir biasa. Tambahnya lagi, fokus utama presiden baharu nanti mestilah pembangunan akar umbi secara menyeluruh, dan juga membetulkan sistem yang ada untuk melahirkan pemain berkualiti yang dilihat gagal berlaku dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini. 

Menurut beliau lagi, presiden perlu bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan termasuk sekolah dan kementerian untuk mewujudkan ekosistem yang sihat dan mampan, dan bukan sekadar mengejar kejayaan di peringkat elit.