
KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain warisan yang digantung hanya akan mengetahui nasib mereka Isnin atau Selasa ini.
Perkembangan terbaru itu didedahkan oleh media pasukan Velez Sarsfield, Sabado Velez iaitu kelab yang diwakili salah seorang pemain warisan negara, Imanol Machuca.
Menurut media itu, keputusan rayuan hukuman oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap FAM dan tujuh pemain warisan yang digantung dijangka mengambil sedikit masa lagi sebelum diumumkan.
Menurut kenyataan yang dikongsikan di laman Instagram Sabado Velez berkenaan, sesi pendengaran rayuan telah berlangsung pada Khamis lalu dan pihak pembelaan bagi Machuca mengemukakan hujah mereka di hadapan FIFA.
“Keputusan muktamad dijangka diumumkan antara Isnin dan Selasa minggu hadapan,” menurut kenyataan itu.
Pihak yang rapat dengan pemain Velez berkenaan turut dilaporkan optimis terhadap hasil rayuan itu.
Semuanya akan berjalan dengan baik,” katanya.
Sebelum ini, keputusan rayuan itu dijadualkan diumumkan pada Khamis lalu, namun tiada sebarang kenyataan daripada FIFA mahupun FAM mengenai rayuan berkenaan.
FAM serta tujuh pemain warisan negara dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.