
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memohon dana tambahan khas daripada Kementerian Kewangan (MOF) bagi membantu pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli meneruskan program perlumbaan di Eropah.
Langkah itu diambil selepas permohonan geran daripada Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) tidak dapat dipenuhi berikutan dana sedia ada terhad dan menerima permohonan tinggi daripada pelbagai pihak.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata pihaknya sedar negara mempunyai ramai bakat sukan yang perlu disokong, namun mengakui dana sedia ada tidak mencukupi untuk menampung semua keperluan terutama sukan permotoran yang memerlukan pelaburan besar.
“Jadi untuk Hakim, kita akan memohon kepada MOF untuk dapatkan lebih banyak dana,” katanya selepas majlis perasmian Grand Prix MotoGP Malaysia.