
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia terpaksa akur apabila ditunjuk jalan keluar seawal pusingan pertama oleh rakan senegara, Leong Jun Hao di Terbuka Hong Kong.
Zii Jia yang baru kembali daripada rehat panjang susulan cedera buku lali ketika menyertai Seluruh England pada Mac lalu, tewas di tangan Jun Hao 16-21, 16-21 dalam tempoh 40 minit di Hong Kong Coliseum.
Kekalahan itu menyaksikan Jun Hao yang berada di ranking ke-23 dunia kini meraih kemenangan pertamanya dalam empat pertembungan dengan Zii Jia.
Kali terakhir Zii Jia mencatat kemenangan ke atas Jun Hao adalah di suku akhir Terbuka Artik 2023.
Jun Hao selepas ini dijadual bertemu sama ada pemain Perancis, Toma Junior Popov ataupun rakan sepasukan Justin Hoh di pusingan kedua nanti.