
KUALA LUMPUR: Prestasi tidak menentu pasangan profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, mengundang teguran bekas pemain beregu kebangsaan, Datuk Razif Sidek.
Razif berpendapat pasangan profesional negara itu perlu lebih jujur dengan diri sendiri dalam menilai tahap latihan serta disiplin mereka, selain mencari rakan sepelatih yang lebih berkualiti.
Pasangan nombor empat dunia itu menamatkan siri jelajah Eropah dengan prestasi tidak menentu apabila tersingkir di pusingan pertama Terbuka Denmark, mara ke suku akhir Terbuka Perancis, sebelum tumbang di pusingan kedua Terbuka Hylo di Jerman.
Mereka hanya meraih satu kejuaraan musim ini iaitu di Terbuka India pada Januari lalu serta muncul naib juara Terbuka Jepun pada Julai.
Kekalahan di Jerman turut menjejaskan peluang mereka untuk layak ke Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China, dari 17 hingga 21 Disember ini.
Bagi Razif, pasangan itu mempunyai potensi besar dan kualiti permainan tinggi, namun kekurangan rakan sepelatih yang berkualiti serta tahap fizikal yang belum optimum menjadi antara faktor mereka gagal mengekalkan konsistensi.
“Saya tengok dari segi taktikal, mereka memang bagus. Tapi penyudah masih lemah, dan itu datang daripada fizikal,” katanya.