Judi mungkin punca Ong Yew Sin diugut

Foto Berita Harian

KUALA LUMPUR: Ong Yew Sin yang diugut untuk dicederakan bersama pasangannya Teo Ee Yi dalam talian tidak menolak kemungkinan unsur kekalahan judi menjadi antara faktor di sebalik ancaman itu.

Pemain badminton profesional itu mendakwa menerima ugutan itu selepas tewas di pusingan pertama Indonesian Masters.

Yew Sin mengakui sukar untuk memastikan perkara itu namun menganggap kemungkinan berkenaan tidak mustahil.

“Saya tidak pasti, tapi ada kemungkinan. Sebab kalau kita tengok sukan lain, kalau tidak ada pertaruhan pun, bila pasukan kegemaran kalah, peminat pun boleh marah. Tapi biasanya marah sendiri saja, tidak sampai pergi komen atau mesej pemain.

“Tapi kalau melibatkan judi, bila kalah duit, perasaan itu tak sama. Emosi boleh jadi tak terkawal, naik kepala dan mula marah pemain.

“Ini bukan badminton saja, saya rasa semua sukan pun sama. Tapi benda ini negatif, sama ada kepada pemain atau peminat,” katanya.

Sebelum ini, Yew Sin mendedahkan menerima ugutan dan ancaman dalam talian selepas kekalahan mereka di pusingan pertama Masters Indonesia, Selasa lalu.